SYARAT UNTUK MEMPEROLEHI KEAMPUNAN ALLAH SWT
Kepada orang yang beriman memanglah tidak ragu, bahawa tempat menerima nasihat ialah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.
Allah SWT apabila beri nasihat, akan menasihati bersungguh dengan perkara yang terang dan jelas “Qaulul Haq’. Sejauh mana makrifat terhadap Allah SWT, jika makrifat sempurna maka sebanyak itulah rasa khosyih (gerun) kepada Allah SWT menguasai dirinya.
Justeru menimbulkan rasa cemas itu berfungsi dan berperanan ayat-ayat al-Quran. Nabi s.a.w. mula bertugas sebagai seorang Nabi ketika menerima arahan dengan firman-Nya yang bermaksud. “Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah Asy-Syu’ara ayat 214)
Dengan arahan Allah SWT itu, nabi s.a.w. lantas kerah seluruh keluarga Bani Hasyim,Bani Hasyim, Bani Abdul Mutalib, Bani Manaf dan yang lain ke bukit Shofa.
Setelah Nabi s.a.w. memperkenalkan diri (ta’arruf) dan bertanya sesuatu kepada mereka tentang dirinya, hingga seluruh kaum terbesar itu mempercayai bahawa Muhammad seorang amat dipercayai.
Mereka akui bahawa Muhammad bin Abdullah seorang yang tidak pernah bercakap dusta, lantas mereka pun menggelarnya sebagai ‘Al-Amin’ paling amanah dan dipercayai.
Setelah diyakini suasana amat baik dan sesuai untuk menyampaikan mesej dakwahnya, barulah Nabi s.a.w. menyatakan suatu yang menggetarkan jiwa dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya aku adalah pemberi khabar yang menggerunkan kepada kamu semua, bahawa di hadapan kita azab (neraka) yang pedih.”
Abu lahab terlalu marah terhadap kenyataan Nabi s.a.itu, tetapi situasi ceramah agama diajar timbulkan rasa gerun terhadap ancaman neraka Allah SWT.
Meskipun syurga disebut juga dalam al-Quran, tetapi ucapan yang menggerunkan wajar melebihi dalam dakwah Islam.
Justeru berita gembira tidaklah terlalu menarik perhatian, kerana dalam kehidupan saban ketika manusia bergembira dengan pelbagai nikmat duniawi.
Dalam situasi bergembira itu didatangkan secara mengejut ancaman yang menggerunkan, supaya menyedarkan manusia daripada kelalaiannya.
Meskipun situasi gerun lebih banyak dalam al-Quran berbanding suasana gembira. Namun didapati banyak ayat yang menyatakan bahawa Allah SWT sentiasa kasihan belas ‘Ar Rahman Ar Rahim’ serta suka ampuni dosa manusia.
Walaupun Allah SWT itu bersifat Kasihan Belas tetapi umumnya bersyarat, dengan syarat yang ditetapkan.
Syarat-syarat itu sepatutnya diperhatikan, apabila merenung syarat yang ditetapkan akan timbul rasa sebak di dada.
Manusia suka pemberian rahmat secara percuma tanpa syarat. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.” (Surah Toha ayat 82)
Memang Allah SWT itu Maha Pengampun tetapi kepada mereka yang mempunyai dan memenuhi empat syarat:
Syarat pertama; ialah mereka yang bertaubat.
Syarat kedua; ialah mereka yang beriman.
Syarat ketiga; bagi mereka yang beramal soleh.
Syarat keempat; ialah bagi mereka yang kekal di jalan yang benar iaitu dengan petunjuk Allh SWT.
Bertaubat yang bererti undur semula ke jalan Allah SWT, setelah melakukan dosa dengan penyesalan yang mendalam dan berazam tidak melakukan maksiat semula.
Setelah itu, beriman dengan Allah SWT dengan penuh yakin, bahawa apa yang telah dilakukan sememangnya bercanggah dengan syariat Islam.
Yakin jika sebelum sempat bertaubat sudah sampai ajal, maka yakinlah bahawa diri akan menjadi kayu bakar api neraka.
Yakin bukan sekadar di hati sahaja, tetapi diiringi ikrar dengan lidah serta dibuktikan dengan amal perbuatan sebagai bukti keyakinan tersebut.
Setelah bertaubat dan beriman dengan keyakinan, juga dikehendaki menutup segala kejahatan dengan mengerjakan amal soleh.
Jika ambil harta orang dengan jalan yang batal (salah), maka amal solehnya ialah kembalikan semula harta tersebut kepada pemiliknya.
Jika mengumpat seseorang maka amal solehnya, ialah berjumpa semula dan mohon maaf atas segala umpatan yang telah dilakukan.
Setelah itu hendaklah ikuti jalan yang betul, iaitu jalan yang berlandaskan akhidah dan syariat Islam, terus menerus sehingga akhir hayat.
Tidaklah dinamakan bertaubat pada waktu pagi tetapi sebelah petangnya kembali semula melakukan dosa.
Dengan membukti dan melaksanakan empat syarat itu, barulah seseorang layak mengharap rahmat dan keampunan yang dijanjikan Allah SWT. Jika tidak nescaya bagai mengharap sesuatu yang tidak kunjung tiba.
Disamping lakukan untuk dirinya mereka punyai tanggungjawab untuk umat manusia yang lain, jika tidak dilakukan mereka jadi manusia paling rugi, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta nasihat menasihati supaya menetapi kebenaran.” (Surah Al-‘Ashr 1-3).
No comments:
Post a Comment